Sabtu, 14 September 2013

SELUK UDANG GALAH ,BELALANG HIJAU DAN IKAN PATONG (BHG 1)

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA 16/SEPTEMBER 2013
Terlihat rancangan di TV Discovery channel bagaimana diadakan pertandingan menangkap ikan keli gergasi terlintas dibenak kepala kenangan semasa kanak-kanak dimana pernah mempelajari satu teknik iaitu 'Meraba udang galah" atau menangkap udang menggunakan tangan?Bunyi nya agak pelik tetapi itulah teknik yang pernah saya lakukan iaitu ketika umur dalam lingkungan 12tahun semasa zaman kanak-kanak.

Sekitar tahun 70'an Hulu sungai Pandan iaitu daerah Kangkar Tebrau air sungainya jernih belum tercemar seperti sekarang,terdapat pelbagai spesis ikan air tawar yang masih boleh diperolehi seperti ikan lampam, keli,talapia,baung,sebarau ,ketutu dan pelbagai lagi termasuk udang galah.

Masa itu sekitar darjah enam dimana waktu gemar berkawan,suka mencari pengalaman dan suka keluar menipu orang tua,dengan macam-macam helah menipu semata-mata ingin keluar bermain. Salah seorang rakan sekelas sering menceritakan pengalaman bersama bapanya menangkap udang galah,tersemat dihati teringin mencuba pengalaman sebegitu lagipun seumur-umur hidup tak kenal udang galah apa tah lagi merasainya.Terliur air liur apabila diceritakan keenakan rasa udang galah terutama masakan pais udang galah, akhirnya keputusan dibuat untuk menangkap udang galah di sg.Pandan Kg Kangkar Tebrau.

Dipendekkan cerita maka kami berempat selepas pulang dari sekolah tengahari bergegas kerumah rakan diKangkar Tebrau dengan berbohong kpd orang tua konon ada aktiviti  disekolah.Sesampai di Kangkar Tebrau rakan saya telah siapkan peralatan iaitu tali tangsi,mata kail ,jaring bonjot ikan,sauk rama-rama dan parang. Kenapa perlukan sauk rama-rama, matakail dan tangsi?"acara silingan kalau air masih penuh..." katanya ,pelbagai persoalan timbul tetapi terpaksa pendamkan kerana masih 'zero' tak mengerti apa-apa...

Perjalanan kesungai meredah melalui belukar dan paya,perasaan takut dipendamkan, terpaksa beranikan diri,sesampainya di sungai air masih penuh lalu rakan ajak dan diajar mencari cacing tanah dan belalang hijau. Rupanya acara silingan adalah memancing ikan,dan barulah saya tahu bagaimana mencari belalang hijau untuk dijadikan umpan.

 Berhampiran tebing sungai tersebut terdapat padang rumput lalu rakan saya mengibas-ngibas sauk rama-rama diatas rumput maka dapatlah beberapa ekor belalang hijau untuk dijadikan umpan ikan,ikan apa ye?..... Bodoh dan tiada pengetahuan langsung ,lalu rakan saya mengajak kesuatu tempat iaitu paya tinggal iaitu anak sungai lama yang muara nya terhalang dengan benteng pasir.
Diajarnya kami mengikat matakail dengan jorannya dari sumber alam iaitu buluh,dengan memotong belakang selipar jepun untuk dijadikan pelampung dimana seandai umpan dicuri ikan pelampung akan bergerak-gerak maka bersedialah untuk menyembat,semuanya merupakan pengalaman baru bagi saya.

Mulanya cuma umpan cacing digunakan dan kami teruja apabila mendapat beberapa ekor ikan Talapia sebesar tapak tangan kami, maklumlah seumur-umur tak pernah mancing.Setelah lama memancing dan air sungai Pandan sedang gerak surut sementara ikan talapia pun dah banyak kami perolehi lalu saya bertanyakan perihal belalang hijau, "pesan bapa aku kalau ikan dah senyap tak makan umpan, bolehlah guna belalang hijau untuk umpan PATONG"..


Ooo..Ikan Patong???!!!sejenis ikan seperti talapia berwarna coklat dan bersisik keras,gemar mendiamkan diri seperti namanya dan umpan menjeratnya iaitu cengkerik.Zaman 70'an cengkerik masih belum popular cuma umpan seangkatannya adalah belalang hijau,teknik pancingan yang digunakan menggunakan pelampung kecil bagi melihat gertuannya. Seketika menunggu dapat jugalah beberapa ikan Patong,  masa berlalu akhirnya ikan patong kurang menyambar umpan lalu rakan berkata "pesan bapa aku kalau Patong senyap maka goyang, kacau dia..."

 Goyang,kacau ikan???orang pancing nak senyap ni perlu  pula usik ikan,pelik-pelik...seketika lihat rakan meniti di ranting ketengah paya lalu dihenjut-henjutnya dahan dikaki membuatkan kocakan dipermukaan air lalu segera ia melabuhkan pancing berpelampung ditengah paya,terbukti benar... seketika terdapat sambaran Patong maka kami yang lain segera mengikuti tekniknya.Hasilnya banyak ikan Patong yang kami perolehi.

Bersambung bahagian 2 dipaparan akan datang...

Daripada Laman Pengail: ZulkiffleeH


MERABA UDANG GALAH zaman kanak-kanak (BHG KE2)

Bersambung paparan lepas...
Zaman kanak-kanak adalah zaman yang terindah penuh dengan memori,setiap orang pasti akan tersenyum simpul bila terkenangkan zaman kanak-kanaknya.Disini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman bagaimana saya bersama rakan-rakan sebaya telah pergi keKangkar Tebrau mencari udang galah dengan meraba disungai pandan. Ikuti lah sambungan pada keluaran lepas....

Setelah puas memancing talapia dan ikan Patong kemudian rakan saya mengajak kami turun pula ke dalam sungai Pandan, air dalam sungai Pandan telah surut kering sehingga menampakkan tebing-tebing nya serta beting-beting dialur sungai sementara air sungai kelihatan jernih separas peha. Saya yg tak pernah mandi air sungai terasa gementar dan terkial-kial berjalan elak dari tersungkur, perasaan takut hilang apabila rakan saya menunjukkan seekor udang galah sebesar lengan kami serta sepitnya yg panjang meliuk-liuk.Oooo...itu rupanya yg dikatakan udang galah,bagaimana menangkapnya?...

"Pesan bapa aku,udang galah tempat tinggalnya di dalam atau dicelah-celah batu...." "jadi perlahan-lahan kita merabanya ,cari lubang di tebing-tebing atau beting-beting tanah liat...." Dengan penuh semangat kami berlumba-lumba mencari lubang udang galah, adakalanya kami berebut-rebut pada satu lubang,suasana masa tu riuh-rendah dengan suara kami. Akhirnya dapat juga saya akan seekor udang galah,mula-mula terasa sesungutnya,kemudian terasa jari bagai disepit ,ikutkan hati nak melatah terperanjat tetapi teringat pesan rakan kalau rasa bagai nak disepit itu tandanya ada udang galah maka hulur terus kebadannya kemudian genggam jangan lepas.

Perasaan bangga dan gembira bila telah peroleh seekor udang galah didalam genggaman,langsung tidak terlintas perasaan takut andai terpegang sang ular ke!!!...

Akhirnya cuaca bertambah suram menandakan hari dah hampir maghrib,dan masing-masing dari kami telah peroleh hasil tangkapan yang lumayan kemudian rakan saya mengajak balik. Hasil tangkapan dibahagi sama rata masing-masing peroleh ikan talapia,ikan patong dan beberapa ekor udang galah untuk dibawa pulang. Dengan keadaan kami seperti orang kuala, baju kotor dan badan berlumpur masih bernasib baik apabila masih ada bas terakhir menunggu kami pulang kerumah.

Sesampai nya dirumah kononnya inginlah menceritakan kepada keluarga pengalaman pertama bagaimana mencari cacing untuk dijadikan umpan mancing,menangkap belalang hijau  ,memancing ikan talapia, memancing ikan patong dan bagaimana  menangkap udang galah dengan tangan, ingin berbangga dengan hasil tangkapan tetapi tiba-tiba....."duuzum" tak semena-mena kepala terasa sakit,mata berpinar-pinar,gelap mata...rupanya satu tendangan padu telah hinggap dibelakang kepala oleh abang long....

Apalagi meraung kesakitan tetapi malah ditambah lagi dengan beberapa das rotan oleh ibu ,malam itu teruk saya dikerjakan oleh keluarga saya akibat ingin peroleh pengalaman baru dalam ilmu nelayan. Setelah reda keadaan, abang long saya memberitahu yang saya masih bernasib baik tidak dibaham oleh buaya kerana katanya ada udang galah adalah buaya kerana mereka bersahabat baik dimana sang buaya membenarkan udang galah membersihkan celah-celah giginya....kalau lah ketika meraba tangan kamu masuk kemulut buaya,bagaimana???...Walau bagaimana pun merasa juga saya akan pais udang galah dimasak oleh ibu pada esok harinya tetapi serik untuk meraba udang galah lagi,takut di NGAP buaya.
Nasib baik pais udang galah kalau pais Sang Bedal????



Begitulah seadanya ceritnya,(usah berani meraba nanti kena tampar,baru padan muka)

Daripada Laman Pengail:
ZulkiffleeH

Ahad, 8 September 2013

LUBUK IKAN DI MERSING -part2(RAHSIA PULAU MAWAR YANG TAK RAHSIA LAGI)





Setelah kita ketahui berkenaan lubuk ikan di Jambatan dan Kuala Sungai Mawar iaitu dari paparan minggu lepas,mungkin ramai dari kalangan pemancing merasakan tak lengkap jika saya masih mershsiakan lokasi lain di Sg.Mawar selain dikawasan jambatan sahaja. Bagi pemancing yang menunda bot fiber mungkin tidak banyak persoalan kerana dimana-mana sahaja boleh berlabuh asalkan bot telah berada diatas air.



Pancingan pantai adalah rahsia yang saya ingin ceritakan tetapi masih berkisar di kawasan Sungai Mawar Mersing. Bagi yang menggemari pancingan ekstrem dimana gemar meneroka lubuk-lubuk yang mencabar pasti bertekad untuk mencubanya, di sungai Mawar juga terdapat lubuk terbaik selain muara menyusuri hingga ke dalam sungainya iaitu "PULAU MAWAR."


Dari atas jambatan Sg.Mawar kita akan terlihat pulau kecil berhadapan kuala nya,sebenarnya tanjung tersebut berasal dari beberapa buah pulau kecil.Perubahan monsun yang melanda menyebabkan pulau tersebut bersambung dengan tanah besar iaitu apabila permukaan pantai naik meninggi hingga menjadi benteng http://zulkiffleeh.blogspot.com/2013/06/memancing-siakap-di-benteng-pemecah.html dan menjadi lokasi terbaik bagi nelayan berlindung dari ribut tengkujuh.

Saya akan berikan sedikit info bagaimana untuk memancing di Pulau Mawar tersebut, tetapi pemancing haruslah seorang yang tahan lasak juga seorang yang tidak kenal erti kekecewaan. Apabila pemancing telah dapat menjejakkan kaki ke Pulau tersebut pasti pengalaman berharga akan tersemat dihati sebagai pengalaman yang berharga.

Bagi yang datang dari arah Mersing memasuki Kg.Tanjung Resang melalui jalan ke Penyabong akan bertemu Jambatan Sg.Sisek,dan lebih kurang 1km sebelum sampai di Jambatan Sg.Mawar terdapat lorong sebelah kanan ke Kg.Sg.Mawar. Dipenghujung kampung nelayan tersebut dari kejauhan akan terlihat pulau @ tanjung Mawar, susuri lah sepanjang benteng pasir tersebut hingga ke sana.


Kebiasaan warga tempatan akan memancing disana menggunakan motosikal kerana untuk sampai kesana rakan pemancing harus menyusuri benteng pasir sepanjang 1km. Tak hairan lah kalau saya katakan pasti menyemput dibuatnya,mana kan tidak dengan peralatan mancing,bekalan makanan,tool box dan tong umpan belum lagi yang remeh-temeh seperti khemah,peralatan mendaki dan lain-lain lagi. Jadi jalan terbaik lihatlah paparan ini  http://zulkiffleeh.blogspot.com/2012/05/normal-0-false-false-false-en-us-x-none_29.html
 Peralatan mendaki?mengapa perlu ada?akan saya ceritakan nanti.


Setelah menghampiri pulau tersebut (jika bermotosikal)melepasi paya berpasir,tongkatlah motosikal anda sedikit keatas tebing agar tidak ditenggelami air pasang. Kemudian terpulang pada anda membuat pilihan samada ingin memancing menyusuri tebing berbatu dimana dasarnya berpasir atau memancing disebelah belakang tebing berbatu.


Jika tertarik memancing menyusuri tebing bebatu ketika air surut, berjalanlah dengan penuh berhati-hati kerana permukaan batu yang licin boleh menyebabkan kecelakaan. Carilah waktu ketika keadaan air yang kurang gelombang atau berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan). Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan itupun jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.


Memancing dipantai berbatu Pulau Mawar penggunaan umpan sesuai adalah seperti :


* Udang segar (udang hidup lebih sesuai digunakan)
* Umpan anak ikan hidup yg baru dikail seperti bebolos ,anak kekek sesuai dijadikan umpan pari. memancing ikan          bebulus di pantai menggunakan perambut setengah kaki dengan kekuatan 12 paun amat sesuai dgn mata  kail halus.
* Perumpun sarung atau ruat pasir
*Hirisan ikan (selayang,tamban atau kembung)/hirisan sotong (dipotong serong)
*Kerang-kerangan,umang-umang yg dititik cengkerangnya atau anak ketam untuk peroleh ikan Ketarap.


Di Pulau Mawar, Ikan pari boleh diandaikan spesies terbesar mendiami kawasan pesisiran pantai tersebut manakala ikan lumrah lain ialah ikan2 karang, kakap merah,bebolos, gelama papan,gerut, tuka, sembilang karang, todak, daun baru dan ikan Delah yang mendiami teluk pantai berpasir Pulau Mawar.

Saiz batu ladung boleh menentukan jarak baling, saiz batu ladung juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut air laut. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.Panjang perambut untuk memancing di pantai memadai satu meter kerana jika terlalu panjang maka anda akan mengalami kesukaran untuk lontaran nanti.



Sebenarnya di Pulau Mawar terdapat kawasan yang menarik iaitu dibalik tebing bebatu yang tinggi (lebih kurang 5-7meter),sebab itu lah saya sarankan 'peralatan mendaki' itupun jika masih ada lagi 'tali' lama untuk memanjat iaitu ditempat 'parking' motosikal seawal tadi kerana itu saya harap pemancing merupakan seorang yang berani punya hati yang kering.

Diatas bukit  nanti pemancing akan melihat fenomena yang cantik iaitu'Gerbang Laut' atau pintu masuk untuk persekitaran tanjung tersebut. Dikiri kanannya terdapat tebing tinggi bebatu karang dimana kawasan berpotensi mendapatkan pelbagai spesis ikan namun di pantai berbatu karang tersebut juga boleh mendatangkan masalah iaitu 'sangkut' terutama pancingan dasar.Lumrah lah 'area' berbatu penuh berteritip masalah sangkut memang tidak boleh dielakkan.juga untuk menyusuri tebing bebatu yang curam amat mencabar.jika pemancing rajin serta berani menyusuri tebing bebatu karang disana hasil tangkapan pastinya lumayan sekali.

Untuk tidak menghampakan trip pancingan tersebut disarankan agar menggunakan tip ini iaitu pancingan tanpa batu ladung dengan menggunakan isi ikan menutupi mata kail.atau teknik pancingan pelampung tetapi pemancing dapatlah mengagak kedalaman air laut agar umpan yang tergantung tidak mencecah dasar berkarang maka potensi diragut ikan adalah tinggi .Salah satu lagi dengan menggunakan pancingan 'apollo' iaitu batu ladung dibahagian bawah dan menggunakan tangsi yg lebih kecil di bahagian batu ladung,apabila batu sangkut karang, pemancing masih boleh perolehi ikan setelah tangsi halus putus.

Spesis yang sangat popular di Pulau Mawar adalah Kerapu (samada kerapu keling atau kerapu mata hijau) bagi memperoleh spesis tersebut saya sarankan pemancing menggunakan tali sulam atau tali spider,
dimana telah terbukti kekuatannya disamping risiko putus amat kurang.Persembahan umpan untuk ikan muara berbatu Pulau Mawar seperti ikan karang jenahak, jemuduk,siakap ,ibu gelama,kurau dan kerapu sebolehnya ikan hidup atau jenis umpan segar.
Penggunaan Gewang amatlah berkesesuaian dengan lanskap berbatu,pemancing disarankan menggunakan teknik 'casting' kearah sekitar pantai bebatu, dipadankan dengan joran ringan 6kaki-7kaki .Gunakanlah Gewang yang sesuai iaitu gewang 'shallow'selaman cetek atau gewang 'floating'aksi permukaan air.

Biasanya casting di pantai berkarang Pulau Mawar boleh dilakukan pada masa air besar atau surut tetapi semasa air gerak pasang pemancing rebutlah teknik pancingan dasar kerana waktu terbaik ikan  merapat ke pantai.Tetapi tidak bermakna waktu lain kita tidak boleh memancing. Memancing boleh seharian tetapi fokus dan tumpuan perlu diberikan Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang.Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang (kalau dapat bermalam lah disana).







Semoga dengan penerangan panjang lebar tersebut dapatlah rakan pemancing mendalami ilmu berguna bagi dipraktikkan di pantai Pulau Mawar Mersing.

Dari Laman Pengail :Zulkiffleeh